Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit
TUTONG, Selasa, 24 Februari. - Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-220 dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-42, Tahun 2026 telah diadakan secara maya.
Munajat Khas tersebut diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di keempat-empat daerah sebagai tumpuan utama majlis dan tumpuan utama bagi Daerah Tutong diadakan secara fizikal pagi tadi di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, di sini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri; pegawai-pegawai kanan serta warga kementerian-kementerian serta ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal dan maya.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Seterusnya secara maya dari Masjid Omar 'Ali Saifuddien, dengan mendengarkan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Imam Tingkat I, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohd. Waiz bin Tajuddin.
Kemudian bacaan Doa Munajat Khas dan disusuli dengan bacaan Tadabbur Al-Quran dan sejurus selesai tazkirah, diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD.
Antara inti pati tazkirah menyentuh mengenai usaha kita dalam merealisasikan Wawasan Negara, kita perlu menerapkan beberapa aspek penting dari sisi agama Islam iaitu mengukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala dengan memelihara segala perintah-Nya, beriman dengan sebenar-benar iman, memperbanyak amal soleh dan istiqamah dalam menghambakan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Tazkirah tersebut disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Munajat Khas anjuran KHEU dengan kerjasama KKBS sempena Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-42, Tahun 2026 bertujuan untuk memupuk kesedaran dan penghayatan bahawa kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan negara adalah nikmat yang wajib disyukuri serta dipelihara bersama.